Isnin, 28 Jun 2010

Utusan Ad




Busana berjiwa muda

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar WAHIDAH ZAINAL

USIA setahun jagung melibatkan diri secara serius dalam bidang rekaan fesyen tidak bermakna Mohamed Yusuf Salleh tidak berkemampuan melahirkan idea yang memberangsangkan pada koleksi rekaannya.

Bermula dengan menjahit pakaian di rumah selama setahun dan kemudian baru setahun membuka butik sendiri, Mohamed Yusuf terus menghasilkan rekaan yang boleh dikatakan setaraf dengan pereka yang telah lama berkecimpung dalam bidang fesyen.

Menamakan butiknya sebagai Madukara Suteramas, pemilik dan pereka yang berasal dari Kuching, Sarawak ini muncul di Studio Utusan Melayu (M) Berhad dengan beberapa koleksi terbaiknya yang berkonsep khusus untuk orang muda.

Kata Mohamed Yusuf, rekaannya ini yang sesuai untuk acara kasual, koktel, hi-tea dan parti sekadar menggunakan warna-warna ringkas seperti hitam, putih, merah cili dan biru gelap.

Menurut pemegang Ijazah Perakaunan dari Universiti Malaya ini lagi, warna hitam putih menjadi pilihan warna asas bagi setiap rekaannya.

Boleh dikatakan hampir semua koleksinya pasti menggunakan warna tersebut.

''Keistimewaan rekaan baju di Madukara Suteramas terletak pada potongan. Potongan yang betul dan tepat memberikan impak pada pemakainya yang akan membuatkannya nampak cantik dan menarik.

''Bagi mempastikannya, saya sendiri yang memotong dan menjahit baju sama ada yang telah siap atau ditempah pelanggan,'' katanya yang menggunakan fabrik kapas untuk rekaan kasual atau songket, satin dan sutera satin bagi pakaian pengantin.

Tambahnya, dia bukan sahaja membuat baju pengantin Melayu malah untuk bukan Melayu juga. Pelanggan boleh membeli sama ada baju yang sudah siap atau menempah mengikut bajet mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan